APRIL 2023

Pengurusan Alam Sekitar Sarawak Sudah Diserah Kepada Kerajaan Sarawak


KUCHING: Perkara berkaitan pengurusan alam sekitar Sarawak sudah diserahkan Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkara itu diputuskan menerusi perbincangan penurunan kuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya rasa perkara tersebut telah diputuskan di bawah MA63 yang mana perkara berkaitan alam sekitar telah diserahkan kepada kerajaan negeri," katanya selepas Program Penyerahan Amal Ramadan 2023 di sini.

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, dengan penyerahan itu maka kerajaan negeri sekarang yang bertanggungjawab mengenai pengurusan sisa termasuk sisa buangan berjadual di Sarawak.

"Ia akan dilihat dengan lebih lanjut oleh kementerian kita dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB)," katanya.

Sementara itu di program terbabit,  beliau  turut menyampaikan sumbangan baju raya oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Komersial.

Sumber dari : Jiwa Bakti